Istiadat Permasyhuran Yang di-Pertuan Agong XV Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15

Pada 13 Disember 2016, Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-244 (Khas) diadakan sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XV.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.16 pagi disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas.

Baginda diiringi melalui pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Angkatan Tentera Malaysia Unit I Rejimen Renjer Diraja, terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat, yang diketuai Kapten Mohd Hafiz Mohamad Noor. Baginda kemudian berangkat ke Dataran Parlimen untuk sambutan rasmi penuh istiadat sebelum berangkat ke Istana Negara.

Semua sembilan Raja-Raja Melayu atau wakil-wakil baginda serta tiga Yang Dipertua Negeri hadir pada upacara berkenaan, kecuali Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang diwakili Speaker Dewan Undangan Sarawak Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, menteri-menteri Kabinet, anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta pegawai tinggi kerajaan.

Mesyuarat Khas tersebut dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Memulakan istiadat, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad tampil menyembahkan Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Muhammad V yang kemudiannya melafazkan Sumpah Jawatan sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, sebagai saksi. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian menyembahkan pula Surat Sumpah Jawatan kepada Sultan Nazrin Muizuddin Shah yang kemudiannya melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sebelum menandatanganinya. Surat Sumpah Jawatan baginda turut ditandatangani oleh Sultan Mizan dan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai saksi.

Acara di Balairong Seri kemudiannya diteruskan dengan istiadat menandatangani perisytiharan memegang jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Memulakan istiadat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diapit Datuk Paduka Maharaja Lela, Mejar Jeneral Datuk Md Tajri Alwi dan penolongnya Azuan Effendy Zairakithnaini menghadap dan menyembahkan Surat-surat Perisytiharan memegang jawatan untuk ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Najib kemudian membaca perisytiharan bahawa Sultan Muhammad V telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 manakala Sultan Nazrin pula mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Upacara penuh istiadat yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Selesai istiadat itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kemudian memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 (Khas) ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan kelak. Setelah selesai upacara di Balairong Seri, Najib mengetuai upacara menghadap diikuti menteri-menteri Kabinet serta orang kenamaan.[1]